Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

UTHM Bakal Miliki Lapangan Terbang Maritim Pertama Di Asia Tenggara

By 28 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Mohd Zahid Othman/Facebook Fazli Salleh (Johor)

BATU PAHAT, 28 Dis (MalaysiaAktif) — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bakal melakar sejarah sebagai universiti pertama di Asia Tenggara memiliki lapangan terbang maritim sendiri apabila projek Lapangan Terbang UTHM Tanjung Laboh dijangka siap sepenuhnya April tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata sehingga bulan ini, projek yang dibangunkan di atas kawasan seluas 56 ekar itu kini mencapai 71 peratus tahap kemajuan.

Menurut beliau, projek bernilai RM18.3 juta yang bermula sejak tiga tahun lepas itu merangkumi pembinaan landasan sepanjang 800 meter (m) serta sebuah Menara Kawalan Trafik setinggi 12m.

“Kemudahan tersebut tidak hanya terhad kepada latihan juruterbang semata-mata, malah mempunyai potensi besar untuk memacu ekonomi sektor penerbangan dan pelancongan di Johor.

“Lapangan terbang ini berpotensi menawarkan perkhidmatan penerbangan sewaan, pengoperasian pesawat laut (seaplane), serta pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi pesawat ringan dan helikopter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fazli berkata Tanjung Laboh juga bakal menjadi mercu tanda baharu iaitu sebagai “Maldive Selatan” di Malaysia, sekali gus merancakkan industri pelancongan maritim di daerah Batu Pahat.

“Kehadiran lapangan terbang ini juga dijangka memperkukuh kedudukan UTHM sebagai institusi peneraju dalam bidang aeronautik dan teknologi penerbangan di rantau ini menerusi pemilikan fasiliti maritim yang unik,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda