Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

71 Mahasiswa Mulakan Saingan Varsity Golf Championship 2025 di UUM

By 2 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)/Facebook Universiti Utara Malaysia (Official FB)

SINTOK, 2 Nov (MalaysiaAktif) – Seramai 71 mahasiswa dari universiti awam dan swasta seluruh negara menyertai saingan Varsity Golf Championship 2025 di Kelab Golf Sultan Sallehuddin, Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini bagi mencungkil bakat baharu serta mengukuhkan jaringan hubungan antara universiti menerusi penganjuran sukan berprestij peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Antara mahasiswa yang menyertai Varsity Golf Championship 2025.

Kejohanan tiga hari sehingga hari ini itu menghimpunkan atlet muda dari pelbagai institusi antaranya UUM, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Komuniti Malaysia, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali gus menjadikannya antara penyertaan terbesar sejak penganjurannya.

Pengarah Akademi Golf Nasional UUM Prof. Madya Dr. Zaheruddin Othman berkata kejohanan tersebut bukan sahaja meningkatkan penyertaan mahasiswa dalam sukan golf, malah menjadi platform melahirkan atlet pelapis berkualiti untuk mewakili negara pada masa akan datang.

“Kejohanan ini bertujuan mencungkil bakat baharu dalam kalangan mahasiswa serta memperkukuh hubungan antara universiti melalui platform sukan kompetitif,” katanya, di sini kelmarin.

Varsity Golf Championship 2025 menjadi medan penting pembangunan sukan golf di peringkat universiti dan turut mengukuhkan reputasi UUM sebagai destinasi utama penganjuran kejohanan golf berprestij di Malaysia.

-RI

Tinggalkan komen anda