
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini Mohamad
KUALA TERENGGANU, 2 Dis (MAlaysiaAktif) – Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail berkenan berangkat menyantuni mangsa banjir di pusat perpindahan sementara (PPS) di daerah Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, di sini semalam.

Tengku Muhammad Ismail diberikan taklimat situasi banjir bagi daerah Kuala Terengganu oleh Pegawai Daerah Kuala Terengganu semasa lawatan baginda ke PPS SK Rengas Bekah.
Di Marang, baginda berangkat ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai yang menempatkan 65 ketua isi keluarga dengan keseluruhan 250 mangsa.
Di situ, Baginda meluangkan masa meninjau fasiliti, bertemu mangsa serta mendengar sendiri luahan mereka.
Lawatan baginda kemudiannya diteruskan ke Kuala Terengganu iaitu di SK Rengas Bekah dan SK Atas Tol yang masing-masing dihuni 96 ketua isi keluarga dengan 265 mangsa dan 82 ketua isi keluarga membabitkan 158 mangsa.
Bagi daerah Kuala Nerus, dua PPS disantuni Baginda ialah SK Bukit Nenas dengan 36 ketua isi keluarga dan 103 mangsa serta SK Bukit Guntong membabitkan 48 ketua isi keluarga dengan165 mangsa.
Sepanjang lawatan, Tengku Muhammad Ismail meluangkan masa bertemu mangsa banjir dan mengurniakan sumbangan sambil menzahirkan kata-kata semangat sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan terhadap kesulitan yang dihadapi mangsa.

Tengku Muhammad Ismail berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir.
Turut berangkat Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Dato Seri Muhammad Mu’az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra.
Pegawai Daerah Kuala Terengganu Azran Amin Mazlan turut mengiringi dan memberikan taklimat mengenai situasi banjir semasa kepada Tengku Muhammad Ismail semasa lawatan ini.
“Patik amat berbesar hati menerima keberangkatan Yang Dipertuan Muda Terengganu. Lawatan penuh makna menggambarkan keprihatinan dan kepedulian institusi Diraja Terengganu dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, terutama pada saat diuji bencana,“ katanya.
-RI





