Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Aiskrim Malaysia Tambat Hati Warga Sungai Tiang Pendang

By 4 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 4 Dis (MalaysiaAktif) – Seorang wanita di Felda Sungai Tiang, di sini yang memulakan perniagaan dengan hanya RM20 kini berjaya mengembangkan perusahaan aiskrim Malaysia sehingga mampu menghasilkan hingga 400 batang sehari, sekali gus menarik perhatian penduduk setempat yang menjadikannya pilihan utama untuk pelbagai majlis dan infaq.

Wan Robiyatun membawa aiskrim untuk infaq di masjid.

Bercakap kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini, Wan Robiyatun Adawiyah Wan Ee, 41, berkata beliau memulakan usaha berkenaan selepas kehilangan kedua ibu bapanya pada tahun 2023 sebelum menjadikan kediamannya sebagai pusat pengeluaran aiskrim Malaysia yang semakin mendapat sambutan.

Pada peringkat awal, beliau menghasilkan aiskrim secara manual berbekalkan modal kecil. Namun, permintaan yang meningkat mendorongnya membeli peti sejuk beku pertama bernilai RM600.

Hasil titik peluh dan simpanan yang dikumpul, beliau kini memiliki sebuah peti sejuk beku besar yang mampu memuatkan hampir 500 batang aiskrim pada satu-satu masa.

Menurut Wan Robiyatun, kira-kira 300 hingga 400 batang aiskrim dihasilkan setiap hari dengan hampir 30 pilihan perisa.

Dua perisa paling popular katanya ialah Brown Sugar Milk Tea dan Coconut Shake yang sering menjadi pilihan pelanggan.

“Selain menyediakan khidmat penghantaran ke kawasan sekitar, pelanggan juga boleh mendapatkan aiskrim ini terus dari rumah saya,” katanya.

Lebih 30 perisa aiskrim untuk dijual kepada orang ramai.

Dengan harga hanya 50 sen sebatang, aiskrim tersebut bukan sahaja berpatutan malah menjadi pilihan bagi majlis kenduri, kesyukuran dan infaq di masjid-masjid sekitar Pendang.

Beliau bagaimanapun berdepan cabaran ekoran kenaikan harga bahan mentah seperti susu, gula dan perisa.

Namun, situasi itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menghasilkan aiskrim berkualiti demi memenuhi permintaan harian pelanggan.

Kisah Wan Robiyatun membuktikan bahawa perniagaan kecil yang bermula dari rumah mampu berkembang dengan sokongan komuniti dan keazaman yang tidak pernah luntur.

Semangat beliau diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai penduduk luar bandar untuk memulakan perniagaan sendiri.

-RI

Tinggalkan komen anda