Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Replika Tengkolok Seri Mahkota Hidupkan Warisan di Dataran Medan

By 4 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Kedah)

ALOR SETAR, 4 Dis (MalaysiaAktif) – Dataran Medan, di sini kini menyerlah sebagai lokasi beridentiti tradisi dan warisan selepas Replika Tengkolok ‘Seri Mahkota’ dipasang sebagai penghormatan simbolik buat Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Replika tersebut menampilkan reka bentuk tengkolok rasmi yang dipakai oleh Tuanku Sultan Kedah, sinonim dengan keagungan institusi kesultanan negeri.

Pandangan dari jarak dekat Replika Tengkolok ‘Seri Mahkota’.

Setiap elemen pada replika tersebut dizahirkan dengan teliti bagi menggambarkan kehalusan seni lipatan tengkolok tradisi yang menjadi kebanggaan negeri jelapang padi itu.

Pemasangan Replika Tengkolok ‘Seri Mahkota’ diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah ke-83, sebagai tanda kasih, taat setia dan penghargaan rakyat terhadap kepimpinan baginda yang sentiasa berjiwa rakyat dan menaungi negeri dengan penuh kebijaksanaan.

Yusnita Hashim, 50, berkata, pemasangan replika tersebut bukan sahaja memperindah kawasan dataran berkenaan malah menzahirkan rasa bangga rakyat terhadap warisan negeri.

“Replika tengkolok ini memang cantik dan sangat simbolik. Bila melihatnya, kita rasa dekat dengan tradisi dan identiti Kedah. Ia juga menambah daya tarikan untuk orang ramai datang ke sini,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.

Replika Tengkolok ‘Seri Mahkota’ di Dataran Medan Bandar.

Selain menjadi simbol kedaulatan dan warisan diraja Kedah, kehadiran replika tersebut memperindah landskap Dataran Medan dan berpotensi menjadi tarikan baharu bagi warga tempatan serta pelancong yang ingin merakamkan detik istimewa bersama mercu tanda bersejarah ini.

Pemasangan replika itu juga mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh identiti negeri serta memupuk semangat kesetiaan rakyat terhadap institusi kesultanan yang menjadi payung pemerintahan Kedah sejak turun-temurun.

-RI

Tinggalkan komen anda