
Laporan/ foto: Mohd Rafezan Shawal/ Hafiz Hamzah (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 2 Dis (MalaysiaAktif) – Akibat tidak puas hati dibunyikan hon, seorang penunggang motosikal dipercayai warga Singapura bertindak membaling batu ke arah sebuah kereta sehingga memecahkan cermin belakangnya di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura, di sini semalam.

Tangkap layar memaparkan aksi kejar mengejar membabitkan penunggang motosikal dengan pemandu kereta selepas kejadian baling batu yang berlaku di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata kejadian berlaku sekitar jam 8.20 pagi di lebuh raya berkenaan arah Perling menghala ke Taman Bukit Indah.
“Punca kejadian apabila pemandu kereta mendakwa dia membunyikan hon selepas penunggang motosikal itu secara tiba-tiba menukar lorong tanpa memberikan isyarat lampu,” katanya.
Jelas beliau, akibat tidak puas hati dengan tindakan pemandu kereta berkenaan, penunggang itu kemudian mengejar kereta berkenaan sebelum didakwa membaling batu ke arah cermin belakang kereta sehingga pecah.

Sebuah motosikal jenis Yamaha Xmax bernombor pendaftaran Singapura bertindak mengejar dan membaling batu ke arah cermin belakang sebuah kereta jenis Perodua
“Tindakan penunggang motosikal berkenaan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain dan boleh menyebabkan kerosakan harta benda. Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan akibat daripada kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Kes katanya dalam siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang membawa hukuman penjara satu hingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya.
Siasatan turut dibuat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, tular video berdurasi 24 saat memaparkan kejadian sebuah kereta dibaling batu oleh penunggang motosikal di Iskandar Puteri.
-AA-





