
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)
ALOR SETAR, 2 Dis (MalaysiaAktif) – Legenda kulinari Kedah, Mat Cucur Udang terus mengekalkan keaslian rasa sejak mula beroperasi pada tahun 1940, menjadikannya antara jenama tempatan paling lama bertahan di negeri ini.
Pembukaan restoran tetap di Taman PKNK, di sini itu memudahkan pelanggan menikmati hidangan warisan itu pada bila-bila masa tanpa perlu berkunjung ke lokasi pasar malam seperti sebelum ini.

Gerai Mat Cucur Udang.
Dikenali sebagai antara peniaga cucur udang terbaik di Alor Setar, Mat Cucur Udang turut mencatat sejarah tersendiri apabila pernah menjadi sajian kegemaran dua generasi Sultan Kedah iaitu Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai hidangan tradisi yang berkualiti tinggi.
Antara tarikan utama ialah set hidangan istimewa bernilai RM7 yang mengandungi dua keping cucur tauge, seekor udang celup tepung dan sebiji tauhu goreng dengan semuanya digoreng garing keemasan dan dihidang bersama kuah kacang pekat yang menjadi daya penarik utama pengunjung.

Harga menu jualan gerai Mat Cucur Udang.
Setiap cucur disediakan menggunakan udang segar bersaiz sederhana bersama bancuhan tepung istimewa menjadikan setiap hidangan penuh dengan rasa udang sebenar.
Gabungan cucur, udang celup tepung dan tauhu goreng menjadikan ia pilihan pelbagai lapisan masyarakat sebagai hidangan minum petang atau sajian santai keluarga.
Seorang pelanggan tetap, Noriza Hashim, 58, berkata keenakan cucur udang Mat kekal tidak berubah sejak dahulu.
“Saya sudah menikmati cucur udang Mat sejak mereka berniaga di pasar malam lagi. Sekarang lebih mudah kerana ada kedai tetap dan rasanya tetap sama cucurnya rangup, udangnya segar dan kuah kacangnya memang terbaik,” katanya ketika ditemui Malaysia aktif, di sini semalam.
Dengan suasana santai serta resipi tradisional yang dikekalkan lebih lapan dekad, Mat Cucur Udang di Taman PKNK bukan sahaja menjadi lokasi menjamu selera, tetapi juga simbol warisan kulinari Kedah yang terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat setempat.
-RI





