
Laporan/Foto: Sunday Grace Justimus / SCREIMO
PENAMPANG, 31 Dis (MalaysiaAktif) – Festival anjuran Persatuan Penggerak Kreatif dan Inovasi Sabah (SCREIMO) bertemakan “Menyatukan Seni, Memperkasakan Budaya” menjadi wadah penting dalam menyatukan komuniti serta memartabatkan seni dan budaya tempatan.
Pengerusi SCREIMO Chester Sinidol berkata penganjuran festival tersebut bukan sekadar berfungsi sebagai platform hiburan, malah bertujuan memperkukuh identiti budaya Sabah serta mengeratkan hubungan antara komuniti berbilang etnik menerusi seni muzik dan persembahan tradisional.
“Festival ini menyediakan ruang untuk memperkenalkan kekayaan tradisi serta bakat tempatan, khususnya kepada generasi muda agar warisan budaya negeri ini terus dipelihara dan dihargai,” katanya ketika ditemui pada Festival Muzik Sabah 2025 di sini, Ahad lalu.

Persembahan muzik tradisional menggunakan gong dan instrumen iringan oleh Kelab Silat Olahraga Wira Tempur (Sipitang) sempena Festival Muzik Sabah 2025.
Menurut beliau, selain memelihara warisan budaya, festival ini turut berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan budaya di Sabah.
“Penganjuran yang lebih konsisten dan berskala besar pada masa hadapan diyakini mampu meletakkan Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya yang berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa,” jelasnya.
Tambah Chester, seramai 110 peserta belia yang terdiri daripada kumpulan pemuzik dan penari dari pelbagai daerah telah mengambil bahagian, menampilkan gabungan persembahan muzik tradisional dan kontemporari yang unik.
“Antara instrumen tradisional yang diketengahkan termasuk sompoton, kulintangan, sundatang dan gambus, yang digabungkan dengan elemen muzik moden serta eksperimentasi bunyi kreatif menggunakan botol kaca.
“Kejayaan penganjuran festival ini turut disokong oleh komitmen tinggi pasukan penganjur yang terdiri daripada ahli SCREIMO, melibatkan pengurusan pentas, krew teknikal, dokumentasi serta urus setia yang berganding bahu memastikan kelancaran program sepanjang festival berlangsung,” katanya.

Persembahan gabungan muzik tradisional dan kontemporari oleh kumpulan tempatan sempena Festival Muzik Sabah 2025.
Untuk makluman, Festival Muzik Sabah 2025 direalisasikan menerusi sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui dana Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) 2025, Sabah Tourism Board (STB) serta Jabatan Ketua Menteri Sabah.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik termasuk Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, Borneo Music and Sound Technology, Geram Beat Kota Kinabalu serta Asie Sound & Light Tuaran.
-RJ-





