
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sunday Grace Justimus/D5 Hair Spa (Penampang)
PENAMPANG, 4Dis (MalaysiaAktif) – Inovasi perkhidmatan berjaya menjadikan sebuah salon rambut di daerah ini tampil berbeza daripada pesaingnya yang lain apabila menawarkan sesi fotografi berkonsepkan budaya negara matahari terbit buat pelanggan.
Salon rambut D5 Hair Spa mengubah landskap dan aksesori premis berkenaan bertemakan budaya serta keindahan masyarakat Jepun dengan membenarkan pelanggan mengenakan pakaian tradisi seperti Kimono sebagai tanda kenang-kenangan.
Pemilik salon, Edikah Demang berkata idea tersebut diilhamkan daripada pengalamannya melancong ke luar negara dan mengadaptasi setiap keunikan sesebuah negara asing khasnya Jepun ke dalam perniagaan miliknya.

Edikah ketika ditemui di D5 Hair Spa miliknya yang mengetengahkan konsep rawatan rambut bersama pengalaman bergambar dalam kimono.
“Konsep ini memang idea dari luar negara tapi kami cuba adaptasi supaya sesuai dengan pelanggan di Sabah terutama pelancong. Idea ini juga diubah suai untuk menarik minat penduduk tempatan dan pelancong yang ingin sesuatu yang unik ketika berada di Kota Kinabalu.
“Selain rawatan relaksasi, pelanggan boleh rasa pengalaman yang unik seolah-olah mereka sedang berada di Jepun sambil dapat bergambar dan rakam sebagai kenang-kenangan,” katanya kepada Malaysia aktif ketika ditemui di salonnya di ITCC Penampang Mall, di sini semalam.
Jelasnya, ketika mula beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), cabaran penjarakan sosial mendorong beliau berinovasi dan kreatif dalam mempromosikan perniagaannya.

Suasana di D5 Hair Spa yang direka untuk memberi keselesaan kepada pelanggan.
“Dari pemilihan bahan dan peralatan sehinggalah kepada susun atur salon, semuanya dirancang untuk memberikan keselesaan maksimum kepada pelanggan. Konsep ini mendapat sambutan masyarakat Sabah terutama mereka yang datang bersama rakan atau pasangan. Mereka bukan sahaja mahu rambut dijaga tetapi turut mencari pengalaman yang menyeronokkan dan berbeza.
“Setiap pelanggan yang datang, saya mahu mereka benar-benar berpuas hati iaitu bukan sekadar mencuci rambut. Jika mereka pulang dengan rasa segar, bergaya dan membawa pulang kenangan yang indah, itu sudah memadai bagi kami,” katanya.
-RJ-





