
Laporan/ foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/PDT Hilir Perak
TELUK INTAN, 5 Dis (MalaysiaAktif) – Kesemua mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing bermula Sabtu lepas dengan peringatan untuk bersiap sedia bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka pada hari ini dan esok.

Rondaan pemantauan juga mendapati masih ada kawasan yang tidak selamat dan ditenggelami banjir
Pegawai Daerah Hilir Perak Mufidah Mahfodz dalam satu kenyataan berkata penduduk di lokasi yang kerap terjejas akibat fenomena tersebut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan bersedia bagi sebarang kemungkinan berlakunya pemindahan berulang.
“Penduduk disarankan untuk berpindah ke lokasi yang lebih selamat sekiranya keadaan memerlukan sepanjang tempoh fenomena ini.

Mufidah (jaket kuning) ketika menyantuni mangsa banjir di PPS Dewan Seri Bahagia, Kampung Bahagia
“Semua penduduk juga diingatkan agar sentiasa berwaspada, mengikut arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa dan mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di kediaman masing-masing,” katanya.
Sehingga jam 12 tengah hari ini, Hilir Perak merekodkan jumlah mangsa banjir seramai 905 orang membabitkan 266 keluarga yang ditempatkan di tujuh buah PPS.
-AA-





