
Laporan/ foto: Azree Zaki (Raub)
RAUB, 15 Dis (MalaysiaAktif) – Karnival Mini Rahmah anjuran Pejabat Parlimen Raub berjaya menarik kehadiran ratusan penduduk setempat yang mengambil peluang menikmati pelbagai inisiatif bantuan dan perkhidmatan kepada rakyat, di sini semalam.

Noorul Asikin, salah seorang pengunjung ketika ditemubual
Karnival satu hari itu juga menawarkan jualan barangan keperluan asas pada harga berpatutan menerusi Program Jualan Rahmah, selain pameran agensi swasta, khidmat nasihat, jualan makanan dan larian santai sejauh 7 kilometer (km).
Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Raub Raja Abdul Rashid Raja Puji berkata penganjuran karnival tersebut bertujuan meringankan kos sara hidup rakyat, mendekatkan perkhidmatan agensi kepada masyarakat dan merancakkan ekonomi setempat.
“Program seperti ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan keprihatinan terhadap keperluan komuniti setempat,” katanya.

Sekitar pertandingan memasak yang diadakan
Sementara itu, salah seorang pengunjung, Noorul Asikin Zawawi, 37, menyifatkan penganjuran karnival tersebut penting dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat melalui Program Jualan Rahmah.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dari masa ke semasa kerana manfaatnya sangat dirasai oleh rakyat,” katanya.
Karnival Mini Rahmah itu turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah, pertandingan memasak, pertandingan mewarna, pertandingan e-sukan, dialog rakyat sekali gus mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat dan masyarakat di Raub secara amnya.
-AA-





