
Laporan/foto: Khairul Othman (Negeri Sembilan)/Media Pejabat DUN Bukit Kepayang
SEREMBAN, 15 Dis (MalaysiAktif) – Majlis Bandaraya Seremban (MBS) melaksanakan Operasi Pembersihan di Pusat Bandar Seremban dalam usaha memperkukuh tahap kebersihan dan keceriaan bandar.

Nicole ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Operasi tersebut disertai Datuk Bandar MBS Datuk Ir. Ts. Masri Baharuddin, Ahli-Ahli Majlis, Jabatan Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment).
Berucap dalam majlis perasmian, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepayang Nicole Tan Lee Koon, menegaskan usaha pembersihan bersepadu ini penting bagi memastikan persekitaran bandar sentiasa bersih, selamat dan selesa.
“Kebersihan bandar adalah tanggungjawab bersama dan menjadi elemen penting dalam membentuk imej Seremban sebagai bandar pelancongan yang berdaya saing serta mesra pengunjung,” katanya, di sini semalam.

Sesi bergambar bersama agensi yang terlibat.
Aktiviti pembersihan dilaksanakan oleh enam kumpulan melibatkan beberapa laluan utama di pusat bandar antaranya Jalan Kapitan Yeong, Jalan Yam Tuan, Jalan Tuanku Munawir dan Jalan Dr. Krishnan.
Skop operasi merangkumi pembersihan tumbuhan di bangunan, kutipan sampah, pembersihan longkang serta penyelenggaraan kawasan awam.
Program ini akan dilaksanakan secara berkala sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, selaras dengan aspirasi MBS untuk mengekalkan Seremban sebagai bandar yang bersih, teratur dan lestari.
-RI





