
Laporan/foto: Faizal Nazmi/BERNAMA
PUTRAJAYA, 7 Dis (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Sahabat Penggerak MADANI dan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0.
Anwar berkata Sahabat Penggerak MADANI bertujuan memperluas jangkauan agenda Malaysia MADANI dan menyokong pelaksanaan program lapangan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).
“Kerana kita bicara soal komunikasi, soal terus menyantuni rakyat, kita luncurkan Sahabat Penggerak MADANI. Setakat Disember 2025, kita sudah mengumpul 3,000 sukarelawan yang menjadi Sahabat Penggerak MADANI.
“Tanggungjawab mereka adalah menyampaikan naratif kenegaraan, menjadi penceramah, fasilitator dan jurulatih,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025, di sini hari ini.
Program tiga hari itu yang bermula kelmarin berlangsung serentak dengan sambutan tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI telah mencatatkan jumlah kehadiran 304,000 pengunjung setakat ini, suatu angka luar biasa yang mengatasi sasaran awal 300,000 orang.
Anwar berkata sebagai menghargai keahlian sukarelawan Sahabat Penggerak MADANI, kerajaan akan memberikan kad pengenalan rasmi, akses latihan di AKM dan manfaat daripada rakan strategik seperti pasar raya Mydin dan Hotel Seri Malaysia.
Sukarelawan juga katanya berpeluang menyertai program di peringkat nasional serta akan menerima sijil penglibatan sebagai rekod rasmi sukarelawan negara.
Sementara itu, bagi SIKR 3.0, Anwar berkata kadar pampasan ditingkatkan kepada RM13,500 bagi kematian semula jadi, RM26,500 bagi kematian akibat kemalangan serta RM13,500 untuk kecacatan kekal akibat kemalangan.
“…Peruntukan awal RM20 juta telah bermula sejak 1 Oktober 2025 hingga 30 September 2026.
“Maka, saya cadangkan oleh itu…pertukaran untuk melaksanakan ini…akan ada MoU (memorandum persefahaman) di antara KP ICU (Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria) dan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Prudential Takaful,” katanya.
SIKR adalah pelan takaful berkelompok eksklusif patuh syariah percuma yang ditaja kerajaan bagi melindungi Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan pangkalan data kemiskinan nasional (eKasih) di bawah bidang kuasa ICU Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Ia yang pertama kali dilancarkan pada 2022 diuruskan secara eksklusif oleh syarikat insurans yang dilantik dengan pelan bertempoh selama setahun dan menyediakan pampasan atau melindungi pemegang polisi sekiranya berlaku kematian semula jadi atau kemalangan atau hilang upaya kekal dan menyeluruh akibat situasi tidak dijangka mengikut kadar ditetapkan di dalam polisi.
-FN





