Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

MOT Lancar Program 3 MADANI Memperkukuh Hubungan Kerajaan dan Komuniti

By 7 Disember 2025Disember 9th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasnida Sarani (Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 7 Dis (MalaysiAktif) – Kementerian Pengangkutan (MOT) melancarkan Program 3 MADANI yang merangkumi Santuni MADANI, Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI, sebagai usaha memperkukuh hubungan kerajaan dengan komuniti serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Loke menyampaikan topi keledar kepada pengunjung dalam inisiatif JPJ iaitu tukar topi keledar lama kepada baru secara percuma.

Melalui inisiatif Santuni MADANI, dua kampung terlibat iaitu Kampung Panchor dan Kampung Baru Paroi menerima pelbagai penambahbaikan infrastruktur termasuk naik taraf gelanggang bola keranjang, pembaikan tandas awam dan pemasangan papan tanda baharu.

Di bawah komponen Sekolah Angkat MADANI, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan dipilih sebagai sekolah angkat MOT dengan peruntukan RM100,000 bagi menambah baik kemudahan pendidikan.

Peruntukan itu merangkumi pembekalan aset Google TV, program pembangunan kompetensi guru serta peningkatan kemudahan fizikal seperti jalan dan tempat letak kereta sekolah.

Loke bergambar bersama tetamu yang hadir.

Majlis perasmian berlangsung di Balai Raya Kampung Panchor dan disempurnakan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook.

Loke menegaskan bahawa usaha tersebut adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat luar bandar tidak tersisih.

“Sebagai Ahli Parlimen Seremban dan Menteri Pengangkutan, saya mahu pastikan setiap kampung, komuniti dan sekolah menerima manfaat pembangunan secara inklusif. Program ini bukan sekadar simbolik, tetapi tindakan nyata untuk membawa perubahan di peringkat akar umbi,” katanya, di sini semalam.

Menurutnya, MOT akan terus bekerjasama dengan agensi pusat, kerajaan negeri dan komuniti setempat bagi meneruskan agenda MADANI demi manfaat rakyat.

-RI

Tinggalkan komen anda