Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sambutan Krismas Jadi Titik Temu Perpaduan Masyarakat Pelbagai Kaum di Kota Kinabalu

By 18 Disember 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 18 Dis (MalaysiaAktif) – Kemeriahan sambutan perayaan Krismas bukan sahaja diserikan dengan cahaya serta dekorasi indah, malah turut menjadi medan pertemuan masyarakat pelbagai kaum dan agama untuk berkongsi kegembiraan serta memupuk semangat perpaduan.

Berlangsung selama empat hari bermula Selasa lepas, program ini berjaya menarik kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan usia, termasuk golongan belia yang melihat sambutan tersebut sebagai platform menyemai nilai keharmonian dan kebersamaan dalam masyarakat.

Menurut Morisno M. Vivi, 23, kehadirannya bersama rakan-rakan ke sambutan berkenaan memberikan pengalaman bermakna dalam meraikan Hari Krismas bersama masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

“Seronok kerana dapat datang bersama kawan-kawan, melihat suasana yang meriah dan menikmati makanan percuma yang disediakan. Program seperti ini sangat baik kerana semua kaum boleh hadir bersama tanpa mengira agama atau bangsa.

Morisno (kanan) dan rakan-rakannya hadir memeriahkan program Sambutan Hari Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025.

“Program sebegini wajar diteruskan kerana mampu menyatukan rakyat serta mengeratkan hubungan silaturahim,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Perayaan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 di Padang Merdeka, di sini, Selasa lalu.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Mourice Louis, 47, yang hadir bersama keluarga menyifatkan sambutan tersebut sebagai platform terbaik dalam menyemai nilai hormat-menghormati dan keharmonian bermula dari institusi keluarga.

“Program ini sangat baik kerana mampu menyatukan silaturahim semua bangsa. Suasana hari ini jelas menunjukkan perpaduan walaupun kita berbeza budaya dan agama. Apabila kita membawa keluarga bersama, di situlah bermulanya penyatuan. Anak-anak juga dapat belajar meneruskan budaya hidup bermasyarakat seperti ini,” katanya.

Mourice (kanan) bersama isteri dan anak-anaknya, termasuk Melville Kent (kiri), meluangkan masa bersama keluarga sambil menikmati kemeriahan Sambutan Hari Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 di sini, kelmarin.

Turut berkongsi pandangan sama ialah anaknya, Melville Kent Mourice, 15, yang berpendapat peluang berkumpul bersama keluarga dalam suasana perayaan sebegini merupakan pengalaman yang amat bermakna, khususnya bagi golongan remaja.

“Saya sangat gembira dapat berkumpul bersama keluarga. Saya berharap remaja seperti saya tidak hanya menghabiskan masa di rumah dengan telefon, sebaliknya meluangkan masa bersama keluarga serta menyertai program komuniti seperti ini,” katanya.

Sambutan Perayaan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 buat julung kalinya diangkat sebagai sambutan peringkat negeri bermula tahun ini.

Program ini dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Sabah Council of Churches (SCC) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), bertemakan ‘Hope For Peace In Love’ atau ‘Pengharapan Damai Dalam Kasih’.

-RJ-

Tinggalkan komen anda