Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Pusat Derma Darah Statik Zon Pantai Timur Mula Operasi

By 18 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 18 Dis (MalaysiaAktif) – Pusat Derma Darah Statik Zon Pantai Timur baharu yang mampu menerima lapan penderma dalam satu-satu masa mula beroperasi sejak 1 Disember lalu.

Dr. Kasemani (tiga dari kiri) ketika ditemui di sidang media, kelmarin.

Penubuhan pusat berkenaan adalah hasil kolaborasi Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bersama St. John Ambulans Malaysia dan pusat membeli belah Kuala Terengganu City Centre (KTCC).

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr. Kasemani Embong berkata kewujudan pusat statik itu bukan sahaja memudahkan orang ramai menderma darah, tetapi membantu memperkukuh kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan negeri.

“Pusat ini diwujudkan bagi memastikan proses pendermaan darah dapat dilakukan secara lebih terancang, selesa dan mudah diakses.

“Bekalan darah yang stabil amat penting bagi menyokong rawatan pesakit, terutama bagi kes kecemasan dan pembedahan,” katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Darah Statik di KTCC, di sini kelmarin.

Penubuhan pusat ini adalah hasil kolaborasi Jabatan Perubatan Transfusi HSNZ bersama St. John Ambulans Malaysia dan KTCC Mall.

Dengan adanya pusat derma darah statik itu, orang ramai berpeluang untuk menderma darah dalam suasana yang lebih selesa, teratur dan berterusan.

Ia sekali gus menandakan komitmen pihak berwajib dalam memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi bagi keperluan pesakit khususnya di Terengganu.

-RI

Tinggalkan komen anda