Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kitar Semula Pandu Lalu, Sampah Jadi Duit

By 18 Disember 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salehuddin Klewan/Syafiq Saleh (Hulu Langat)

BANDAR BARU BANGI, 18 Dis (MalaysiaAktif) – Persatuan Penduduk Desa Surada Bangi (PPDSB) di sini mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (ADTReC) bagi membudayakan amalan pengurusan sisa pepejal secara lestari dalam kalangan komuniti setempat.

Projek yang menerima peruntukan Sejahtera MADANI berjumlah RM100,000 itu mula beroperasi pada September lalu dan memberi peluang kepada penduduk menjana pendapatan sampingan menerusi aktiviti kitar semula.

Individu yang berdaftar melalui aplikasi khas akan dapat merekodkan setiap aktiviti serahan bahan buangan serta mendapat nilai mata ganjaran.

Pengerusi PPDSB Omar Kamal berkata idea penubuhan ADTReC tercetus hasil kesedaran komuniti setempat terhadap kepentingan menyediakan kemudahan kitar semula yang mudah diakses dan mesra pengguna.

“Menerusi konsep pandu lalu, penduduk hanya perlu singgah dan menyerahkan bahan kitar semula tanpa mengambil masa yang lama.

“Pendekatan ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai penduduk untuk terlibat secara konsisten,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Beliau berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan malah mampu menjimatkan kos pengurusan sampah serta menyokong sasaran negara mencapai kadar kitar semula 40 peratus menjelang 2025.

Menurutnya, masyarakat perlu mengubah sikap dan amalan dalam menguruskan sampah dengan melihat sisa sebagai sumber yang mempunyai nilai ekonomi jika diurus secara sistematik.

ADTReC menerima pelbagai jenis bahan kitar semula termasuk kertas dan kotak, besi pelbagai jenis, aluminium dan tin minuman, minyak masak terpakai serta sisa elektronik.

Omar berkata menerusi program pembelian yang disediakan, individu yang berdaftar melalui aplikasi khas boleh merekodkan setiap serahan bahan buangan dan memperoleh mata ganjaran yang boleh ditebus dalam bentuk wang tunai.

Slot khas bagi mengurus sisa minyak terpakai dan juga sisa elektronik.

“Usaha ini bukan sahaja mendidik penduduk mengurus sisa pepejal dengan lebih teratur, malah membantu mereka menjana pendapatan sampingan melalui pengumpulan bahan kitar semula,” katanya.

Penubuhan ADTReC dilihat sebagai contoh kerjasama berkesan antara komuniti dan kerajaan dalam memperkasakan agenda kelestarian alam sekitar di peringkat akar umbi.

Menurut statistik Statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Malaysia menjana kira-kira 39,000 tan sisa pepejal setiap hari pada tahun 2024, melibatkan sisa domestik daripada isi rumah dan komuniti.

Jumlah itu bersamaan sekitar 1.17 kilogram sisa pepejal bagi setiap individu setiap hari, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak terhadap pengurusan sisa yang lebih berkesan.

-RI

Tinggalkan komen anda