Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tengku Permaisuri Selangor Rasmi Taman Anggerik Shah Alam

By 4 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Memi Yusoff/Hazel (Selangor)

SHAH ALAM, 4 Dis (MalaysiaAktif) – Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat merasmikan Taman Anggerik Shah Alam di Seksyen 14, di sini hari ini.

Ketibaan baginda disambut isteri Menteri Besar Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad dan Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Tengku Permaisuri Selangor berkenan mencemar duli merasmikan Rumah Kaca Taman Anggerik Shah Alam bersama Mohd Fauzi (dua dari kiri) Masdiana (tiga dari kanan) dan Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof  (kiri).

Baginda turut berkenan menandatangani plak perasmian sebelum berangkat melawat reruai pameran serta rumah kaca anggerik yang menjadi tarikan utama taman tersebut.

Sementara itu, Mohd Fauzi dalam sembah ucapannya berkata Taman Anggerik Shah Alam merupakan taman rekreasi baharu yang bakal menjadi mercu tanda nadi hijau bandar raya ini.

“Taman ini adalah inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk memperluas jaringan ruang hijau di Shah Alam serta menyokong matlamat membentuk bandar raya yang lebih lestari, seimbang dan berdaya huni.

“Ia dibangunkan di sebahagian kawasan tasik barat Taman Tasik Shah Alam dengan keluasan lima ekar, melibatkan kos pembinaan RM4.7 juta,” katanya.

Tambahnya, taman tersebut disasarkan menjadi lokasi pelancongan baharu sebagai pusat pameran anggerik selain menghimpunkan koleksi anggerik tempatan dan antarabangsa.

Sekitar gimik Perasmian Taman Anggerik Shah Alam oleh DYMM Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor di Taman Anggerik Shah Alam, Seksyen 14.

Antara komponen utama di Taman Anggerik Shah Alam ialah rumah kaca (greenhouse), trek pejalan kaki, sungai buatan, Plaza Anggerik, gazebo untuk aktiviti riadah serta laman pasar bunga.

“Kesemua komponen ini dibangunkan dengan mengambil kira usaha MBSA menyediakan lebih banyak ruang hijau berkualiti, sekali gus meningkatkan keselesaan serta kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.

Selain pameran flora, majlis turut dimeriahkan dengan acara jualan pokok bunga, pertandingan anggerik dan demonstrasi gubahan bunga segar yang menarik minat pengunjung dari pelbagai peringkat umur.

-RI

Tinggalkan komen anda