
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)/Kedah Kini
ALOR SETAR, 1 Jan (MalaysiaAktif) – Sambutan ulang tahun ke-22 Bandar Raya Alor Setar diserikan dengan penganjuran Malam Mahabbah Rasul yang menghimpunkan perarakan dan perhimpunan selawat bersempena sambutan Tahun Baharu 2026 di Dataran Starwalk, semalam.

Turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api sempena Ambang Tahun Baharu 2026
Program keagamaan itu menjadi wadah penyatuan masyarakat setempat dalam suasana penuh kerohanian menerusi alunan selawat dan doa, selain memohon kesejahteraan serta keberkatan berterusan buat bandar raya berkenaan.
Malam Mahabbah Rasul dimulakan dengan perhimpunan peserta sebelum diteruskan dengan perarakan selawat di sekitar Dataran Starwalk yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Seorang pengunjung, Nur Hazirah Zakaria, 25, berkata penganjuran program tersebut memberi pengalaman bermakna dalam menyambut tahun baharu dengan pendekatan yang lebih tenang dan bererti.

Suasana meriah Malam Mahabbah Rasul
“Tiada cara yang lebih indah untuk menyambut tahun baharu selain dengan berselawat dan mendoakan kesejahteraan buat Bandar Raya Alor Setar serta menzahirkan cinta kepada Rasulullah SAW,” katanya.
Menurutnya, program seumpama itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan ulang tahun bandar raya, malah mampu memperkukuh ukhuwah dan menggalakkan masyarakat menghayati nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Penganjuran Malam Mahabbah Rasul itu mencerminkan komitmen untuk menjadikan sambutan tahun baharu dan ulang tahun bandar raya sebagai medan pengisian rohani yang memberi impak positif, selari dengan hasrat membentuk komuniti bandar yang harmoni, bersatu padu dan diberkati menjelang tahun 2026.
-AA-





