
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)/SMK Sri Aman
SRI AMAN, 31 Jan (MalaysiaAktif) – Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, Aariz Abdillah, mencipta sejarah apabila terpilih sebagai antara 28 pelajar Malaysia yang menerima pengiktirafan tertinggi daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan sijil penghargaan tersebut dalam sesi menghadap di Istana Negara pada 29 Januari sebagai menghargai pencapaian luar biasa kumpulan pelajar berkenaan yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Aariz Abdillah menerima sijil penghargaan daripada Raja Zarith Sofiah atas kejayaan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa di Istana Negara kelmarin.
Aariz dipilih menerima pengiktirafan berprestij itu susulan kejayaannya mewakili Malaysia dalam Global English Language Olympiad of South East Asia (GELOSEA) yang berlangsung di Incheon, Korea Selatan.
Kumpulan pelajar berbilang kaum terbabit turut mencatat kejayaan cemerlang dalam beberapa pertandingan bahasa Inggeris antarabangsa melibatkan penyertaan dari Korea, Itali, Amerika Syarikat, Brazil, United Kingdom dan Singapura.

Aariz Abdillah bersama 27 pelajar cemerlang negara menerima pengiktirafan daripada Raja Zarith Sofiah di Dewan Seri Temenggong, Istana Negara susulan kejayaan memenangi pelbagai pertandingan bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa.
Pihak pengurusan SMK Sri Aman menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti komitmen tinggi warga pendidik sekolah dalam membimbing murid mencapai kecemerlangan di peringkat global, sekali gus menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus menyerlah dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Turut hadir dalam majlis tersebut Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Bakat Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Jamal Sabang serta ibu bapa Aariz.
-RJ-






