
Laporan/foto: Nurul Ain Johari (Batu Pahat)/Ketua Kampung Mukim Peserai
BATU PAHAT, 31 Jan (MalaysiaAktif) – Penyertaan kumpulan Kompang Rentak Warisan, Benteng Kiri, Peserai yang mewakili negeri Johor dalam Pertandingan Kompang Irama Sempena Hari Terbuka Putrajaya 2026 menjadi platform penting dalam menilai kemahiran, disiplin serta penguasaan terhadap seni warisan budaya Melayu Johor.

Seramai 16 orang ahli Kumpulan Rentak Warisan yang berumur 15 hingga 30 tahun menyertai Pertandingan Kompang Berirama Sempena Hari Terbuka Putrajaya.
Naib Yang Dipertua I Majlis Kebudayaan Negeri Johor Datuk Ariss Samsudin berkata pertandingan tersebut bukan sekadar medan persaingan, malah berperanan mengeratkan silaturahim antara peserta dan mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda.
“Pertandingan kompang merupakan platform penting dalam mencungkil bakat baharu dan memupuk minat generasi muda terhadap seni warisan, di samping memastikan seni Kompang Johor terus dipelihara dan diperkasa agar tidak ditelan arus pemodenan,” katanya, di sini kelmarin.
Menurutnya, kemenangan bukanlah matlamat utama setiap kumpulan yang bertanding, sebaliknya nilai perpaduan dan semangat kebersamaan perlu diutamakan.

Kumpulan Kompang Rentak Warisan, Benteng Kiri, Peserai muncul sebagai juara dalam Pertandingan Kompang Irama Sempena Hari Terbuka Putrajaya 2026 di Dataran Putrajaya semalam (Tangkap layar Facebook Perbadanan Putrajaya).
“Walaupun kemenangan menjadi impian setiap peserta, yang lebih utama adalah hubungan silaturahim, disiplin serta semangat kerjasama yang terbentuk sepanjang pertandingan ini berlangsung,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pertandingan berkenaan merupakan usaha berterusan dalam memelihara, memperkasa dan memartabatkan seni Kompang Johor sebagai warisan budaya negeri Johor.
Semalam, kumpulan Kompang Rentak Warisan diumumkan sebagai juara dalam pertandingan tersebut dan membawa pulang wang tunai RM2,000.
-RI





