
Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther (Pulau Pinang)
GEORGETOWN, 13 Jan (MalaysiaAktif) – Inisiatif Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 terus memberi kelegaan kepada ribuan ibu bapa dan penjaga, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah dalam membuat persiapan awal persekolahan anak-anak.
Ibu kepada empat orang pelajar, Nur Jannah Mohd Yusoff, 42, berkata bantuan yang diterima amat bermakna dan memberi kelegaan besar kepada keluarganya.

Khairuddin Mohamed, 65 bersyukur tiga orang cucunya dapat memulakan sesi persekolahan dalam keadaan lebih bersedia, selesa dan bersemangat
“Bantuan ini saya manfaatkan untuk membeli keperluan asas sekolah seperti beg, kasut, pakaian seragam dan alat tulis yang menjadi keperluan utama setiap kali sesi persekolahan bermula,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, semalam.
Sementara itu, Khairuddin Mohamed, 65, menyifatkan inisiatif tersebut sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.
“Saya nampak pelaksanaan BAP merupakan langkah proaktif kerajaan dalam menjamin kebajikan pelajar, kami sekeluarga bersyukur bantuan ini dapat ringankan persiapan sekolah cucu-cucu saya,” katanya.
Selari dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih sejahtera dan inklusif, BAP nyata memberi impak positif bukan sahaja kepada kesejahteraan keluarga malah menyokong ekosistem pendidikan negara dengan memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana kekangan kewangan.
-AA-





