Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

600 Pelajar Terima Bantuan, Pendidikan Terus Jadi Keutamaan Negeri

By 13 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Haliza Ridzuan/Najmi Ariffin

PERMATANG PAUH, 13 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 600 pelajar dan murid sekolah dari Parlimen Permatang Pauh menerima manfaat menerusi Program Jom ke Sekolah 2026, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.

Dalam ucapannya beliau menegaskan kerajaan negeri sentiasa komited dalam memperkasa pendidikan di negeri ini

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata sumbangan yang disalurkan menerusi program berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya memberi kelegaan besar kepada ibu bapa yang berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar.

“Walaupun sumbangan ini kelihatan sederhana namun impaknya amat besar kepada keluarga khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, dalam memastikan anak-anak dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih teratur dan bersemangat,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Program anjuran Pusat Khidmat Rakyat Permatang Pauh dengan kerjasama Yayasan Taqwa itu telah berlangsung di Dewan Yayasan Aman Penanti dan disempurnakan Mohamad, di sini kelmarin.

Pelajar serta ibu bapa menzahirkan rasa syukur apabila terpilih menerima bantuan ini

Mohamad turut menegaskan komitmen berterusan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam memperkasa sektor pendidikan melalui pendekatan menyeluruh dan inklusif agar tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan hanya disebabkan kekangan kewangan.

Bagi sesi persekolahan 2026, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3.56 juta, meningkat hampir 20 peratus berbanding RM2.97 juta pada tahun sebelumnya.

Melalui peruntukan ini, lebih 23,000 pelajar asnaf di seluruh Pulau Pinang telah menerima manfaat sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri menjadikan pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang demi kesejahteraan rakyat dan masa hadapan negeri.

-AA-

Tinggalkan komen anda