
Laporan/foto: Aini/Anuar Che Amat
KANGAR, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan terus memperkukuh komitmen terhadap pendidikan inklusif melalui pelaksanaan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU).
Bantuan ini bertujuan membiayai keperluan persekolahan serta keperluan khas pembelajaran murid OKU, sekali gus memastikan akses pendidikan yang lebih saksama dan berkesan.

Pelajar berkeperluan khas ini sentiasa menunjukkan komitmen kepada guru di sekolah.
EMBPK meliputi murid warganegara Malaysia yang bersekolah di Sekolah Kerajaan (SK) dan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK), termasuk peringkat prasekolah hingga Tingkatan Enam, selain pelajar di Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan institut latihan kemahiran yang dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut Elena Royani Mohamed Yusof, 50, ibu kepada Elman Ziqri Sulaiman, 18, yang mengikuti program di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), bantuan EMBPK amat membantu dalam menampung keperluan khas anaknya.
“Elaun ini sangat membantu kami sebagai ibu bapa dalam menampung kos keperluan khas anak saya, termasuk bahan pembelajaran dan keperluan sokongan di pusat pemulihan.
“Ia sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan keluarga dan membolehkan kami memberi tumpuan yang lebih kepada perkembangan dan kebajikan Elman,” katanya ketika ditemu bual, di sini semalam.
Syarat utama kelayakan termasuk pemilikan Kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta tidak menerima sebarang biasiswa atau elaun kewangan lain, kecuali bagi MBPK di Kolej Matrikulasi yang menerima Bantuan Sara Hidup Pelajar (BSHP).
Bantuan ini juga merangkumi kanak-kanak autisme di Pusat Kecemerlangan Intervensi Awal PERMATA Kurnia.
Dengan kadar RM150 sebulan, EMBPK dilihat mampu membantu mengurangkan tekanan kewangan keluarga dan menyokong keperluan pembelajaran murid OKU secara berterusan.
-RI





