
Laporan/foto: Aini/Anuar Che Amat (Perlis)
KANGAR, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Di sebalik rincihan halus dan aroma serai yang memperlihat kehalusan tradisi, masakan rendang serai terus menjadi identiti kepada komuniti Kampung Wang Besar.
Lebih daripada sekadar juadah, hidangan ini mencerminkan warisan, budi pekerti, dan muafakat yang mengikat hubungan penduduk sejak sekian lama.

Serai dihiris halus memudahkan sebati dengan bahan lain.
Terhasil daripada gabungan bahan asas seperti serai, belimbing dan udang, rendang serai menzahirkan kebijaksanaan masyarakat kampung dalam memanfaatkan sumber alam secara lestari.
Setiap suapan bukan sahaja menyajikan rasa unik, malah menyimpan cerita tentang identiti dan nilai tradisi yang membentuk jati diri komuniti.
Menurut Ketua Jiranita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Wang Besar Mahsuri Mahmood rendang serai sentiasa menjadi hidangan utama dalam majlis kenduri dan program kemasyarakatan.
Katanya, penyediaan dengan memasak secara bergotong-royong dapat mengeratkan silaturahim serta memperkukuh semangat kekitaan penduduk.

Hirisan Serai yang halus menjadikan rendang serai ini mudah untuk dimakan.
Sementara itu, usahawan produk kuih tradisi Sofiah Hamid melihat rendang serai sebagai produk warisan makanan yang berpotensi dipromosikan secara lebih meluas.
“Keunikan rasa dan identiti tempatan hidangan ini bukan sahaja mampu menarik pelancong, malah memberi nilai tambah kepada ekonomi komuniti setempat,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Usaha kolektif oleh penduduk kampung memelihara dan mempromosikan rendang serai sebagai ikon masakan Kampung Wang Besar bukan sahaja mengekalkan tradisi, malah menggalakkan penglibatan masyarakat secara aktif dalam memperkukuh identiti setempat dan membina komuniti yang lebih berdaya tahan.
Secara keseluruhannya, rendang serai bukan sekadar juadah, tetapi lambang warisan rasa yang menyatukan semangat dan usaha penduduk Kampung Wang Besar.
-RI







