
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)/Unit Media Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP)
KUALA PILAH, 12 Jan (MalaysiaAktif) – Gema Cak Lempong Negeri Sembilan 2026 sempena Sambutan Hari Keputeraan ke-78 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Padang Awam Seri Menanti, di sini semalam mendapat penyertaan yang menggalakkan dari seluruh negeri.

Tunku Zain Al Abidin menyampaikan hadiah kepada pemenang Gema Cak Lempong Negeri Sembilan, Kumpulan Cak Lempong Tingkah Irama.
Pertandingan anjuran Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan, Yayasan Hasanah dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah itu diadakan bagi menzahirkan rasa kasih dan junjung setia kepada Baginda Tuanku selain sebagai wadah memperkukuh apresiasi masyarakat terhadap warisan seni tradisi Melayu.
Antara kumpulan yang mengambil bahagian ialah Kumpulan Indera Mestika dari Kolej Majlis Amanah Rakyat (MARA) Seremban, Kumpulan Cak Lempong Tingkah Irama dari Kelab Pengurusan Persembahan Seni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Kumpulan De Bo Jangs dari Seremban.
Kesemua persembahan memberi nafas baharu terhadap muzik tradisional melalui pendekatan yang segar, kreatif dan relevan untuk menarik minat generasi muda meminati genre sebegini.
Anakanda kedua Baginda, Tunku Zain Al Abidin Tuanku Muhriz turut berkenan hadir.

Orang ramai yang menyaksikan persembahan.
Seorang pengunjung, Jumaidah Samat, 54, sangat gembira dan teruja ketika menghadiri program tersebut.
“Persembahan caklempong ini sedikit sebanyak menggamit zaman persekolahan saya dahulu, yang mana saya juga aktif bermain alat muzik ini,” katanya.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Dato’ MK Ibrahim, Pengarah Penyiaran Negeri Sembilan Suhana Suratman, Pegawai Daerah Kuala Pilah Nawal Mohamed Amin dan Pengasas Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan Prof. Adjung AhmadRashidi Hasan.
-RI





