
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)/Warta Kedah
ALOR SETAR, 12 Jan (MalaysiaAktif) – Pameran seni visual ‘Kembara Utara’, hasil kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah dan Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula hari ini di Balai Seni Negeri Kedah, menghimpunkan 70 karya seni daripada koleksi Bank Negara Malaysia dan Balai Seni Negeri Kedah yang mengetengahkan naratif sosioekonomi wilayah utara tanah air.

Bergambar kenangan bersama Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin (tengah), Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamed Ariff (kiri), Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah (kanan).
Tuanku Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan hadir merasmikan majlis dan melihat karya seni yang dipamerkan.
Gabenor Bank Negara Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pameran berkenaan menampilkan karya seniman terkemuka dari Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak termasuk Allahyarham Ibrahim Hussein, Ismail Zain, Khoo Sui Hoe, Sharifah Fatimah Zubir dan Amron Omar di samping karya seniman tempatan lain.
“Pameran ini mengangkat karya-karya seni dengan naratif sosioekonomi melalui landskap, budaya dan perkembangan ekonomi, khususnya dari perspektif utara tanah air,” katanya.
Beliau berkata matlamat pameran itu bukan sahaja untuk mengetengahkan kekayaan seni tanah air, malah meningkatkan pengetahuan serta penghargaan masyarakat terhadap seni sebagai medium pembelajaran tidak formal yang mampu meneguhkan jati diri rakyat Malaysia.

Ucapan aluan oleh Gabenor Bank Negara.
“Pameran ini juga mempromosikan seni dan warisan budaya negara kepada pengunjung serta memberi pencerahan mengenai komitmen Bank Negara Malaysia dalam mendukung warisan seni Malaysia,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rasheed memaklumkan pameran itu akan berlangsung selama lima bulan bermula 12 Jan hingga 12 Mei ini setiap hari secara percuma kecuali pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Penganjuran pameran ‘Kembara Utara’ dilihat sebagai platform penting memperkasa apresiasi seni, memperkukuh warisan budaya serta merapatkan hubungan antara seni, sejarah dan masyarakat, sekali gus menyumbang kepada pembinaan identiti nasional yang berteraskan nilai budaya dan kreativiti tempatan.
-RI





