
Laporan/foto: Sarah Saad (Perak)/Saarani Mohamad
IPOH, 5 Jan (MalaysiaAktif) – Institusi kekeluargaan yang harmoni dan sejahtera menjadi tunjang utama dalam pembentukan penjawat awam yang berintegriti serta mempunyai kesejahteraan kerohanian bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata kekuatan perkhidmatan tidak lahir hanya daripada sistem dan dasar, sebaliknya digerakkan manusia hasil kestabilan emosi yang dibina dari rumah.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merangkap Yang Dipertua KESEDAR Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) Dato’ Nor Sham Rahman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan) Halizah Sipun.
“Cara kita melayan rakyat, mendengar keluhan serta menyelesaikan urusan harian itulah yang membentuk keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
“Apabila hati kita tenang di rumah, kita lebih fokus di tempat kerja. Apabila fikiran teratur, keputusan yang dibuat juga lebih bijaksana. Di situlah bermulanya kekuatan sebenar seorang penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Keluarga Kelab Seri Perak Darul Ridzuan (KESEDAR) Tahun 2026 di Lost World of Tambun, di sini semalam.
Menurutnya, penjawat awam bukan sekadar pelaksana dasar malah cerminan imej kerajaan di mata rakyat.
“Keharmonian keluarga juga mampu menjadikan penjawat awam lebih sabar, bijaksana dan berupaya membuat keputusan yang adil demi kepentingan negeri,” katanya.

Saarani bergambar kenangan bersama-sama dengan ahli KESEDAR yang terdiri daripada kakitangan Kerajaan Negeri Perak dan keluarga.
Mengulas lanjut, beliau turut berkongsi pengalaman dalam bidang pendidikan dan keibubapaan dengan menekankan konsep ‘Rumahku Syurgaku’ sebagai asas pembentukan sahsiah anak-anak.
“Suasana rumah yang positif melalui pendekatan kasih sayang dan komunikasi berkesan amat penting dalam melahirkan generasi masa depan yang berjiwa besar.
“Kerja itu amanah, keluarga juga amanah. Penjawat awam yang tenang emosinya dan bahagia keluarganya, insya-Allah akan memberi perkhidmatan yang lebih ikhlas dan berkualiti,” katanya.
-RI





