
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/Facebook Mohd Jafni Md Shukor
KULAI, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor memperkenalkan inisiatif Subsidi Bina Baharu Rumah Prihatin Johor (RPJ) sebagai model perumahan mampu milik yang lebih inklusif dan responsif bagi membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.

Langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi dalam menyesuaikan dasar perumahan dengan keperluan rakyat masa kini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata program itu dikhususkan kepada keluarga yang memiliki tanah sendiri atau tanah keluarga namun berdepan kekangan kewangan untuk memulakan pembinaan tanpa sokongan kerajaan.
“Menerusi inisiatif ini, pemohon yang layak boleh memiliki kediaman pada harga RM86,000 seunit dengan subsidi sebanyak RM30,000 yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).
“Pemberian subsidi tersebut membolehkan peserta hanya membiayai kos akhir berjumlah RM56,000 bagi unit berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Mohd Jafni memaklumkan kerajaan turut menawarkan pilihan kedua pada harga RM66,000 yang memperuntukkan kos bersih sebanyak RM36,000 kepada peserta selepas ditolak nilai subsidi yang sama.
Jelasnya, dua reka bentuk rumah disediakan iaitu unit berkeluasan 660 kaki persegi yang dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, serta unit berkeluasan 470 kaki persegi dengan dua bilik tidur dan satu bilik air.

RPJ membolehkan pemilik tanah sendiri atau tanah keluarga memiliki rumah RM86,000 seunit dengan subsidi RM30,000 oleh Kerajaan Johor melalui PKPJ.
Selain itu, bagi memperluas akses kepada manfaat ini, syarat kelayakan telah ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan isi rumah daripada RM6,000 kepada RM8,000 sebulan serta membuka peluang permohonan kepada golongan bujang.
“Langkah tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato’ Onn Hafiz Ghazi dalam menyesuaikan dasar perumahan mengikut realiti ekonomi semasa,” katanya.
Setakat 20 Jan lepas, sebanyak 101 permohonan telah diluluskan manakala lima unit kini sedang rancak dibina sebagai projek perintis yang melibatkan kawasan Felda Inas di Kulai serta Felda Air Tawar 5 di Kota Tinggi.
-RI





