Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kejohanan Golf Antarabangsa dijangka Bantu Selangor Capai Sasaran 9 Juta Pelancong

By 30 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Herlina Ainizawati Zakaria/Nur Syafiq Kamaruzzaman (Shah Alam)

SHAH ALAM, 30 JAN (MalaysiaAktif) – Penganjuran Kejohanan Golf PKNS Selangor Masters 2026 dan Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor (SIJGC) 2026 dijangka mampu membantu menarik sehingga sembilan juta pelancong ke Selangor tahun ini sempena Tahun Melawat Selangor (TMS).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kejohanan bertaraf antarabangsa itu bukan sahaja memberi impak kepada pembangunan sukan, malah memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor pelancongan negeri menerusi konsep pelancongan sukan.

“Acara seperti ini bukan hanya melibatkan aktiviti sukan, tetapi turut merangsang sektor hospitaliti termasuk hotel, pengangkutan, makanan dan minuman serta pelbagai industri sokongan lain. Impaknya memberi manfaat menyeluruh kepada ekonomi dan sektor pelancongan negeri,” katanya pada sidang media PKNS Selangor Masters 2026 dan SIJGC di Kelab Golf Seri Selangor, di sini kelmarin.

Beliau berkata Selangor sememangnya menjadi pilihan pemain golf antarabangsa khususnya dari Korea Selatan, Jepun, Eropah dan rantau Asia sekali gus penganjuran kejohanan ini diyakini mampu menambah daya tarikan pelancong asing ke negeri itu.

Dalam pada itu, Amirudin berkata PKNS Selangor Masters 2026 yang memasuki edisi ke-13 akan berlangsung dari 11 hingga 14 Feb ini dan menjadi pembuka tirai bagi kempen Jelajah Pembangunan (ADT) dengan penyertaan seramai 144 pemain profesional.

Kejohanan tersebut menampilkan pemain tempatan seperti Shahriffuddin Ariffin, Marcus Lim, Khavish Varadan dan Ervin Chang, selain kehadiran juara bertahan Tawit Polthai dari Thailand serta pemain antarabangsa dari Filipina, England, Korea dan India.

Sementara itu, SIJGC melibatkan 120 pemain muda berusia 12 hingga 19 tahun dari 11 negara termasuk Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Bangladesh, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Vietnam.

Lebih 2,000 penonton dijangka hadir sepanjang kejohanan berlangsung, sekali gus mengukuhkan peranan sukan sebagai medium promosi pelancongan Selangor.

-RI

Tinggalkan komen anda