
Laporan/foto: U.Prakash (Timur Laut)
GEORGE TOWN, 19 Jan (MalaysiaAktif) – Pesta Ponggal 2026 anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsapuri Pelangi dengan kerjasama KRT Padang Kota, KRT C.Y. Choy dan KRT Lebuh Chulia berlangsung meriah di Kuil Sri Madurai Veeran, Lintang Macallum 2, di sini kelmarin.

Aparaajita Keerthy Govind, 33, teruja dapat menyertai Pertandingan Gubahan Daun Kelapa Muda.
Pegawai Perpaduan Daerah Timur Laut Pravin Poobalan hadir merasmikan program, berkata sambutan perayaan seperti Ponggal merupakan medium terbaik untuk menyemai semangat perpaduan, saling menghormati dan memahami kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Program seperti ini bukan sekadar meraikan perayaan kaum India, malah menjadi platform berkesan untuk merapatkan hubungan komuniti setempat serta memperkukuh integrasi nasional di peringkat akar umbi,” katanya.
Pelbagai aktiviti kebudayaan telah diadakan antaranya gubahan daun kelapa muda, gubahan bunga melur, pertandingan kolam serta acara tradisi memasak Ponggal bukan sahaja menceriakan suasana, malah mengukuhkan lagi jalinan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
-RI





