
Laporan/foto: Sarah Saad (Perak)/Yayasan Perak
IPOH, 14 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Perak menerusi kerjasama antara Yayasan Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menyalurkan peruntukan berjumlah RM2.3 juta bagi memperkasa ekosistem pendidikan di negeri tersebut.
Menteri Besar Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata inisiatif tersebut merupakan manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pelaksanaan intervensi pendidikan yang lebih berfokus dan berkesan di peringkat sekolah.
“Tahun lalu, program pemerkasaan pendidikan telah memberi manfaat kepada puluhan ribu murid dan ratusan sekolah melibatkan Sektor Pembelajaran, Sektor Pembangunan Murid serta Sektor Pendidikan Islam.

Majlis penyerahan replika cek antara Pengurus Besar Yayasan Perak Dr. Nasreen Khanum Nawab Khan dan Pengarah Pendidikan Negeri Perak Zulkafli Mohamed Mokhtar di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak.
“Antara inisiatif utama termasuklah Program Perak One Third High yang melibatkan 28,086 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari 255 buah sekolah bagi meningkatkan kadar kelulusan peperiksaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan replika cek antara Pengurus Besar Yayasan Perak Dr. Nasreen Khanum Nawab Khan dan Pengarah Pendidikan Negeri Perak Zulkafli Mohamed Mokhtar di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak, di sini hari ini.
Tambah Saarani, kerjasama tersebut turut melibatkan Program Propulih dan Propulih 2.0 yang berjaya membantu lebih 3,600 murid menguasai literasi asas.
“Selain itu, Program Red Flag Risiko Cicir (RFRC) turut dilaksanakan melibatkan 7,555 pelajar berisiko di 72 buah sekolah bagi membendung masalah keciciran pembelajaran.
“Bagi Program Kecemerlangan Pendidikan Islam pula, seramai 26,363 murid dari 621 buah sekolah telah menerima manfaat melalui program tuisyen, bengkel kecemerlangan serta seminar,” katanya.
Beliau optimis pendekatan bersepadu itu mampu menyokong pembangunan modal insan secara holistik selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Penasihat Undang-Undang Negeri Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin, Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Mohd Zaki Mahyudin dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Dato’ Khairuddin Abu Hanipah.
-RI





