
Laporan/foto: Khairul Othman(Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 30 Jan (MalaysiAktif) – Golongan wanita di negeri ini disaran untuk melakukan pemeriksaan awal kesihatan bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku.

Noorzunita (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2026 di Wisma Majlis Bandaraya Seremban.
“Kita perlu sedar bahawa pengesanan awal melalui ujian Human Papillomavirus (HPV) DNA dan pap smear adalah langkah kritikal yang mampu menyelamatkan nyawa. ‘Cepat Tahu, Cepat Tindak’ bukan sekadar slogan, tetapi satu tindakan yang perlu diambil oleh setiap wanita demi kesejahteraan diri dan keluarga,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sambutan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2026 bersempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks di Ruang Dato Dagang Paroi, Wisma MBS, di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Noorzunita menegaskan kepentingan saringan awal memandangkan kanser serviks merupakan penyumbang kepada angka kematian ketiga tertinggi dalam kalangan wanita di negara ini dan menyeru agar golongan wanita membuang perasaan takut atau malu untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Suasana di dalam dewan Ruang Dato Dagang Paroi yang dipenuhi oleh wanita pelbagai peringkat umur dan agensi yang hadir bagi mendapatkan informasi terkini mengenai pencegahan kanser serviks.
Program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Program itu mendapat sambutan menggalakkan dengan pelbagai perkhidmatan kesihatan percuma termasuk saringan HPV DNA dan pendaftaran untuk ujian Mammogram.
Para pengunjung turut didedahkan dengan informasi pencegahan melalui demonstrasi Flog Swab, pameran daripada pelbagai agensi, serta pengisian ilmu menerusi forum bertajuk ‘Langkah Kecil, Perlindungan Besar’ dan kuiz kesedaran kanser.
Penganjuran program ini dilihat sebagai satu usaha strategik kerajaan negeri dan LPPKN dalam memastikan perkhidmatan kesihatan reproduktif dapat diakses dengan mudah oleh komuniti setempat.
-RI





