Skip to main content
Berita TempatanSabah

Minat dan Kesungguhan Angkat Nabilah Johan Qariah MTQ Nabawan

By 16 Januari 2026Januari 18th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Mazlan Bakar/Mustapha Bacho (Nabawan)

NABAWAN, 16 Jan (MalaysiaAktif) – Minat mendalam dan kesungguhan berterusan dalam mendalami ilmu Al-Quran mengangkat Nabilah Syafawati Sapari sebagai Johan kategori Qariah Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Daerah Nabawan 2026.

Nabilah, 29, guru di Sekolah Kebangsaan Tetagas, di sini berkata pembacaan dan penghayatan al-Quran bukan sekadar medan pertandingan sebaliknya satu usaha istiqamah yang membentuk disiplin, kesabaran serta kecintaan berterusan terhadap Kalamullah.

Menurutnya, penguasaan taranum menjadikan bacaan al-Quran lebih indah, tersusun dan mampu menyentuh jiwa para pendengar.

Nabilah  memperdengarkan bacaan Al-Quran selepas dinobatkan sebagai Johan kategori Qariah MTQ Peringkat Daerah Nabawan 2026.

“Pembelajaran al-Quran sebenarnya sangat menarik dan tidak membosankan. Menguasai taranum pula bukan sesuatu yang sukar sekiranya kita benar-benar mempunyai minat dan kesungguhan untuk mendalaminya,” katanya ketika ditemui di Pusat Komuniti Islam Daerah Nabawan, di sini pada Khamis.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk mewakili Sabah sekali lagi ke MTQ peringkat kebangsaan pada tahun ini dengan tekad memperbaiki pencapaian terdahulu.

“Jika diberi kesempatan, saya mahu memperbaiki pencapaian dua tahun lalu yang sekadar meraih tempat saguhati dan berharap dapat mencapai keputusan lebih baik di peringkat kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, rakan karibnya yang meraih tempat kedua kategori Qariah, Khalishah Nurika Ag Ahmad, 29, menyifatkan kejayaan Nabilah sebagai sumber inspirasi untuk terus memperbaiki mutu bacaan Al-Quran.

Khalishah menerima sijil dan hadiah selepas meraih tempat kedua kategori Qariah MTQ Peringkat Daerah Nabawan 2026.

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Nabawan 2026 bersamaan 1447 Hijrah telah berlangsung semalam di Pusat Komuniti Islam Daerah Nabawan dan disempurnakan Timbalan Pengerusi Badan Dakwah Daerah Nabawan Sahid Mumin, mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.

-RJ-

Tinggalkan komen anda