Skip to main content
Berita TengahBerita TempatanSelangor

PSA Johan Pertandingan REKA+ SPAN, Inovasi Jimat Air Wuduk

By 1 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SHAH ALAM, 1 Jan (MalaysiaAktif) – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dinobat johan Pertandingan REKA+ anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara menerusi inovasi penjimatan air, Superb Wudhu Spigot.

Kejayaan tersebut menyaksikan PSA membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta plak, sekali gus mengakhiri tahun 2025 dengan pencapaian membanggakan institusi.

Mohamad Mostahdi Basrudin (kiri), pelajar Diploma Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan, menerangkan cara penggunaan Superb Wudhuk Water Spigot

Inovasi Superb Wudhu Spigot dihasilkan sekumpulan pelajar Jabatan Kejuruteraan Awam PSA bagi mengurangkan penggunaan air terawat semasa berwuduk.

Inovasi berkenaan selari dengan usaha pemeliharaan sumber air serta amalan penggunaan air secara berhemat dalam kalangan masyarakat.

Menurut SPAN, pemilihan pemenang dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk tahap praktikaliti, sumbangan terhadap penjimatan air serta potensi produk untuk dikomersialkan.

Timbalan Pengarah Akademik PSA, Ts Dr Ahmad Aftas Azman, berkata kejayaan tersebut membuktikan keupayaan pelajar PSA dalam menghasilkan inovasi yang bukan sahaja kreatif, malah memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen PSA dalam melahirkan pelajar berdaya inovasi serta peka terhadap isu kelestarian, khususnya dalam pengurusan sumber air.

“Ia juga membuktikan idea pelajar politeknik mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi dan berpotensi untuk dikomersialkan,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Beliau berharap pencapaian itu menjadi pemangkin kepada warga PSA untuk terus memperkasa budaya inovasi dan pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah sebenar.

Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di ibu pejabat SPAN disempurnakan oleh Pengerusi SPAN, Datuk Ir Abdul Kadir Mohd Din, manakala turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Dato’ Ahmad Faizal Abdul Rahman.

Dalam pertandingan tersebut, Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) diumumkan sebagai naib johan, manakala Universiti Kuala Lumpur Malaysian–Spanish Institute (UniKL MSI) menduduki tempat ketiga.

Pertandingan REKA+ yang bermula pada 1 Ogos 2025 itu julung kali dianjurkan dengan penyertaan 42 institusi pendidikan tinggi awam dan swasta.

-AA-

Tinggalkan komen anda