
Laporan/foto: Haniff Tukija/Mohd Hafiz Mat Nor (Sabak Bernam)
SUNGAI BESAR, 6 Jan (MalaysiaAktif) – Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) bersama rakan strategiknya KDEB Waste Management (KDEBWM) melancarkan fasa baharu transformasi kebersihan daerah dengan penyerahan 19 lori baharu.

Pengarah Urusan KDEBWM Datuk Ramli Mohd Tahir menyerahkan replika kunci lori kepada Yang Dipertua MDSB Awaluddin Zakaria
Langkah berkenaan dilihat sebagai persiapan rapi Sabak Bernam dalam memenuhi kriteria kenaikan taraf kepada status Perbandaran dan merealisasikan visi Kota Agropolitan menjelang tahun 2035.
Yang Dipertua MDSB Awaluddin Zakaria menegaskan walaupun kos pengurusan sisa pepejal mencecah RM10 juta setahun (melebihi hasil kutipan cukai MDSB sebanyak RM9.7 juta), namun pihaknya tetap mengutamakan kebajikan rakyat.
“MDSB tidak mengutip cukai daripada penduduk kampung, namun perkhidmatan pengurusan sisa pepejal tetap diberikan secara percuma kepada mereka.
“Jurang kos ini dapat ditampung hasil bantuan besar daripada Kerajaan Negeri Selangor,” katanya pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor dan Armroll Baharu di Stadium Sungai Besar, di sini semalam.

Awaluddin Zakaria merasai pengalaman menaiki lori kompaktor baharu KDEBWM
Sementara itu, Pengarah Urusan KDEBWM Datuk Ramli Mohd Tahir berkata pemeteraian kontrak baharu selama tujuh tahun bersama MDSB menjadi pemangkin kepada pelaburan aset kali ini.
“Walaupun kami berdepan kenaikan kos operasi dan harga lori kompaktor yang mencecah RM450,000 sebuah, kami tetap komited memberikan perkhidmatan terbaik dengan kos yang paling efisien,” katanya.
Sejak mengambil alih pengurusan sisa di Sabak Bernam pada 2019, KDEBWM kini memikul tanggungjawab menjaga kesejahteraan lebih 120,000 penduduk di daerah tersebut.
Bagi memastikan kelancaran operasi, masyarakat diseru untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menggunakan aplikasi iClean yang dijamin KDEBWM bahawa setiap aduan mengenai sampah dan sisa pepejal akan diambil tindakan segera dalam tempoh 24 jam.
-AA-






