Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

MPKK Lancar Sistem Kulim Smart Care, Perkukuh Pengurusan Aduan Awam Digital di Kulim

By 26 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mahrani Mohamad/Zatul Iffah (Kulim)

KULIM, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) melancarkan Sistem Kulim Smart Care (KSC), sebuah platform digital baharu bagi memperkukuh pengurusan aduan awam, dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada penduduk daerah tersebut.

Ucapan Pelancaran Kulim DSmart Care oleh Yang Dipertua MPKK.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Dato’ Elmi Yusoff berkata pelancaran sistem itu merupakan satu inisiatif strategik MPKK selaras agenda pendigitalan perkhidmatan awam bagi memastikan pengurusan aduan masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik, pantas dan telus.

“Platform digital ini dibangunkan sebagai medium bersepadu untuk memudahkan orang awam menyalurkan aduan serta membolehkan pihak berkuasa tempatan memantau, menyelaras dan menyelesaikan setiap aduan dengan lebih berkesan,” katanya sewaktu berucap sempena majlis pelancaran sistem tersebut, di sini semalam.

Beliau menjelaskan Sistem Kulim Smart Care dilengkapi dengan pelbagai ciri moden dan mesra pengguna termasuk aplikasi mudah alih serta sokongan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu proses pengurusan, penjejakan dan penyelarasan aduan secara lebih teratur.

Antara pengunjung yang hadir ke Majlis Perasmian Kulim Smart Care.

Menurutnya, penggunaan teknologi digital dan AI itu bukan sahaja mempercepatkan tindakan susulan, malah meningkatkan ketepatan maklumat serta kecekapan pemantauan oleh pihak MPKK.

Pelaksanaan Sistem Kulim Smart Care dijangka menjadi pemangkin kepada perkhidmatan perbandaran yang lebih responsif, cekap dan mesra rakyat, sekali gus memperkukuh hubungan antara pihak berkuasa tempatan dengan masyarakat serta menyokong aspirasi bandar pintar di daerah Kulim.

-RI

Tinggalkan komen anda