Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Masakan Minang Tambah Keunikan Pasar Tani Taman Nuri

By 26 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Lyana Athirah Mohd Saad/Noor Syuhada Mohd Yasin (Kedah)

ALOR SETAR, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Keunikan pelbagai menu masakan Minang yang ditawarkan di Pasar Tani Taman Nuri setiap hari Isnin menjadi daya tarikan utama buat penduduk setempat.

Suasana di Pasar Tani Taman Nuri yang menjadi tumpuan penduduk sekitar pada setiap hari Isnin untuk mendapatkan barangan basah dan pelbagai juadah makanan pada harga berpatutan.

Peniaga, Makut Shamsunar, 60, berkata beliau mengekalkan rasa asli Minang melalui menu seperti rendang, dendeng paru, kerabu urat keting, kerabu bunga betik dan sambal balado.

“Walaupun jualan ada pasang surutnya, masakan Minang tetap mendapat permintaan tinggi kerana keaslian rasanya yang sukar didapati di tempat lain,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Menurut Makut, penyediaan menu tradisional yang teliti menjadi kunci utama gerainya sentiasa dikunjungi pelanggan tetap pada setiap minggu.

Kombinasi unik bihun goreng yang dihidangkan bersama sate dan kuah kacang menjadi antara daya tarikan istimewa buat pengunjung yang berkunjung ke Pasar Tani Taman Nuri.

Pengunjung, Norhayati Hashim, 45, berkata beliau sering berkunjung ke gerai tersebut khusus untuk mendapatkan kerabu bunga betik dan dendeng paru yang menjadi kegemarannya.

“Sambal balado di sini sangat asli dan kena dengan selera, harganya juga sangat berpatutan,” katanya.

Seorang lagi pembeli, Khairul Azhar Bakri, 38, berpendapat kepelbagaian lauk-pauk yang ditawarkan memberi banyak pilihan kepada penduduk untuk mendapatkan juadah berkualiti.

-RI

Tinggalkan komen anda