
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Polis akan menutup tujuh jalan utama di sekitar Batu Caves, di sini secara berperingkat bermula 12.01 malam esok sehingga 12 malam, 3 Feb ini.

Antara jalan-jalan yang akan ditutup bermula malam ini hingga 3 Februari ini.
Ketua Polis Selangor Dato’ Shazeli Kahar berkata langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengunjung sempena sambutan perayaan Thaipusam yang bakal disambut pada 1 Februari 2026.
Menurut beliau, seramai 1,520 petugas polis daripada pelbagai formasi termasuk Bukit Aman dan Kontinjen Selangor akan diatur gerak bagi tujuan kawalan sepanjang musim perayaan tersebut.
Katanya, jalan terlibat adalah di lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah MRR2 ke Kuil Batu Caves dan Jalan Perusahaan ke Kuil Batu Caves.
“Susur MRR2 dari Sri Gombak ke Susur Perusahaan, Simpang Tiga Jalan Seri Batu Caves (SBC) 8/Jalan Batu Caves Lama dan lampu isyarat SBC (hadapan Shell) serta Jalan Susur Batu Caves Bypass menghala ke Pintu Utama Kuil Batu Caves,” katanya.

Seramai 1,520 petugas polis daripada pelbagai formasi ditugaskan untuk mebuat kawalan sepanjang perayaan Thaipusam di Kuil Batu Caves
Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Tektikal (MARTEK) PDRM di Kuil Batu Caves di sini, hari ini.
Jelas beliau, bagi mengelakkan kesesakan luar biasa, pengguna jalan raya disarankan menggunakan laluan alternatif seperti Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).
“Pengguna juga boleh menggunakan Jalan Kuching, Jalan Gombak, dan Jalan Sungai Tua bagi aliran trafik dari Pantai Timur, Utara, Selatan, serta kawasan Rawang/Selayang.
Shazeli turut mengingatkan penganut dan pengunjung bahawa kawasan Kuil Batu Caves diisytiharkan sebagai kawasan larangan pengoperasian dron.
“Mana-mana pihak yang ingin mengendalikan dron perlu mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) terlebih dahulu, atau bakal berdepan tindakan undang-undang,” tegasnya.
-AA-





