
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman
JOHOR BAHRU, 6 Jan (MalaysiaAktif) – Peranan kakitangan makmal sekolah merupakan elemen kritikal yang sering berada di belakang tabir, namun menjadi nadi utama dalam melahirkan generasi profesional dan saintis negara pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad berkata sumbangan golongan ini dalam membantu tugasan guru dan pensyarah khususnya bagi subjek berorientasikan sains adalah satu tugas yang mulia dan wajar diberikan penghargaan tinggi.
“Mereka (pembantu makmal) memainkan peranan penting dalam mendidik anak bangsa di samping guru-guru. Tanpa sokongan mereka di makmal, proses pembelajaran praktikal tidak akan berjalan dengan sempurna.

Pembantu makmal sekolah memainkan peranan penting dalam mendidik anak bangsa di samping guru-guru.
“Inilah dedikasi yang membantu melahirkan pakar dalam bidang profesional dan pemahaman Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara menyeluruh,” katanya selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Ke-14 Badan Kebajikan Staf Makmal Daerah Johor Bahru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, di sini semalam.
Sementara itu, Penyelaras Badan Kebajikan Staf Makmal Daerah Johor Bahru Mohd Fadzil Tajuddin menzahirkan penghargaan atas kesudian wakil rakyat tersebut hadir menyantuni ahli persatuan tersebut.
Menurutnya, kehadiran pemimpin masyarakat dalam majlis seperti ini memperkukuh jalinan hubungan serta kesinambungan antara penjawat awam dan kepimpinan setempat.
“Walaupun tugas pembantu makmal ini banyak di belakang tabir, namun hakikatnya ia merupakan kerjaya yang melibatkan risiko tertentu dalam memastikan sesi amali berjalan selamat.
“Kehadiran Datuk Pandak hari ini membuktikan kebajikan dan peranan kami terus mendapat perhatian,” katanya.
Badan Kebajikan Staf Makmal Daerah Johor Bahru kini menaungi seramai 233 ahli yang terdiri daripada kakitangan makmal di seluruh sekolah dalam daerah ini.
-RI





