
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 25 Jan (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 yang berkuat kuasa mulai 22 Jan lepas disambut baik penjawat awam, termasuk di Sabah sebagai langkah membantu menangani peningkatan kos sara hidup semasa.

Carl Spencer gembira dengan kenaikan gaji SSPA Fasa 2 yang sedikit sebanyak meringankan kos hariannya.
Penjawat awam yang ditemui Malaysia Aktif menyifatkan pelaksanaan fasa berkenaan sebagai inisiatif tepat pada masanya khususnya dalam meringankan beban kewangan harian serta keperluan keluarga.
Penjawat awam, Carl Spencer N. Toidis, 34, berkata kenaikan saraan itu memberi kesan positif kepada perbelanjaan harian dirinya dan keluarga.
“Kenaikan ini sedikit sebanyak membantu keperluan harian. Ia satu langkah positif buat penjawat awam dalam usaha menstabilkan ekonomi, dan saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui di sebuah pusat beli-belah di Penampang, di sini pada Khamis.

Majorie berkongsi rasa syukur kerana kenaikan gaji SSPA Fasa 2 dapat membantu keperluan keluarga masing-masing.
Sementara itu, penjawat awam, Majorie Anak Lalam, 41, berpandangan pelaksanaan kenaikan gaji tersebut mencerminkan penghargaan dan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam.
“Kenaikan gaji ini memberi banyak manfaat, khususnya dalam membantu keperluan keluarga. Saya berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan ini,” katanya.
Seorang lagi penjawat awam, Nazri Ramshah Abdul Basah, 39, berkata pelaksanaan SSPA Fasa 2 amat bertepatan dengan keperluan semasa, terutama menjelang bulan Ramadan dan pembukaan sesi persekolahan.
“Kenaikan gaji ini membantu perbelanjaan harian serta keperluan persekolahan anak dan meringankan beban kewangan. Saya berharap penambahbaikan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
-RJ-





