Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Perkhidmatan Kaunter Hasil Lebih Efisien, Digital di Parit Sulong

By 19 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 19 Jan (MalaysiaAktif) — Sistem perkhidmatan kaunter hasil yang lebih efisien, khususnya bagi memudahkan urusan transaksi pembayaran cukai dan hasil buat penduduk sekitar Parit Sulong, di sini diperkenalkan.

Zulkurnain turut menandatangani plat perasmian kaunter hasil Pejabat Tanah yang baru.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan Dato’ Zulurnain Kamisan berkata pembaharuan sistem perkhidmatan kaunter yang kini dilengkapi kemudahan kod respons pantas (QR scan) dilihat mampu melonjakkan hasil kutipan cukai Kerajaan Negeri Johor.

“Kemudahan pendigitalan ini bukan sahaja memudahkan orang ramai melunaskan tanggungjawab mereka, malah hasil kutipan tersebut akan disalurkan semula untuk memacu kemajuan pembangunan di seluruh negeri.

“Pada tahun 2025, hasil kutipan cukai telah dimanfaatkan melalui Bantuan Kasih Johor (BKJ) kepada golongan memerlukan, dan diharapkan pada tahun ini agihan bantuan serta kemudahan infrastruktur dapat terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Town Hall Komuniti dan Peniaga anjuran Pejabat Tanah Daerah (PTD) Batu Pahat dan Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) di Pejabat Majlis Daerah Yong Peng Cawangan Parit Sulong, di sini hari ini.

Kaunter perkhidmatan jabatan turut dibuka pada program tersebut.

Sementara itu, Pentadbir Tanah Daerah Batu Pahat Nur Faiz Jamil berkata program kolaborasi bersama MDYP dan Bank Simpanan Nasional (BSN) kali ini memberi tumpuan khusus kepada komuniti peniaga di kawasan Parit Sulong serta ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Parit Sulong.

“Rekod pendapatan cukai tahun lalu menunjukkan prestasi memberangsangkan, sekali gus membolehkan kemudahan kaunter dibawa terus kepada masyarakat setempat tanpa perlu mereka ke bandar Batu Pahat,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda