Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Program Semarak Kasih Seharum Puspa Bersama Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan

By 19 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)/Unit Media Majlis Daerah Kuala Pilah

KUALA PILAH, 19 Jan (MalaysiaAktif) – Program Semarak Kasih Bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Sempena Sambutan Hari Keputeraan ke-78 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan telah berlangsung meriah dengan kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus di Dewan Tuanku Ampuan Najihah, Seri Menanti, di sini semalam.

Tuanku Aishah berkenan menyerahkan sijil penghargaan.

Program yang dianjurkan oleh Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Daerah Kuala Pilah menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik minat pengunjung-pengunjung terutamanya kaum wanita, seperti jualan hasil produk tempatan, jualan hasil kraf serta pertandingan gubahan bertemakan Jambangan Diraja.

Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, telah berkenan mencemar duli menghadiri program ini dan mencuba menggubah bunga daripada dawai bulu atau chenille stems.

Puspanita Kuala Pilah sering memberi peluang kepada usahanita daerah khasnya Kuala Pilah, untuk menampilkan produk yang bukan sahaja bersifat komersial, tetapi menampilkan kreativiti wanita tempatan yang mencerminkan nilai budaya dan warisan bangsa.

Bicara Berirama dari Sekolah Kebangsaan Senaling.

“Inisiatif ini diharapkan dapat membuka ruang jaringan, menyokong semangat keusahawanan dan berdikari dalam kalangan kaum Wanita,” ujar Penasihat Puspanita Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin.

Program juga turut diserikan lagi dengan persembahan warisan dan budaya tempatan seperti cak lempong, teromba, tarian tradisional, koir dan bicara berirama oleh anak-anak murid sekolah sekitar Kuala Pilah, pelajar Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuala Pilah dan Kolej MARA Seremban.

Majlis juga turut diserikan lagi dengan kehadiran Pengerusi Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan (BAKRIYAH) Negeri Sembilan Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof, Pengerusi Puspanita Cawangan Negeri Sembilan Datin Suriani Yahya serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

-RI

Tinggalkan komen anda