
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Taufiq Johari (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 14 Jan (MalaysiaAktif) — Pembangunan bola sepak di Johor dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada aspek prestasi, kebajikan atlet serta penyediaan persekitaran latihan yang kondusif dan profesional.

Dr. Taufiq bersama pengurusan SSI dalam lawatan kerja beliau ke Johor, semalam.
Menteri Belia dan Sukan Dr. Taufiq Johari berkata pendekatan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) itu wajar dijadikan penanda aras dalam usaha memperkukuh ekosistem sukan negara agar lebih dinamik dan terunggul.
“Pencapaian ini bukan sahaja menyumbang kepada kecemerlangan pasukan, malah berpotensi menyemarakkan minat dan penyertaan generasi muda dalam bidang sukan dan seterusnya memperkukuh pembangunan sukan tanah air secara mampan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, semalam.

Dr. Taufiq (kanan) membuat tinjauan dan melihat fasiliti padang dan kelengkapan lain di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang terkenal dengan kemudahan yang canggih dan terkini yang diilhamkan sendiri oleh Pemangku Sultan Johor.
Terdahulu, Taufiq turun padang meninjau kemudahan sukan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang merupakan gelanggang rasmi JDT yang mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Johor dalam membangunkan infrastruktur sukan bertaraf dunia.
“Lawatan ini memberi pendedahan secara langsung terhadap fasiliti bola sepak bertaraf antarabangsa yang disediakan termasuk padang permainan yang diselenggara secara profesional serta pusat latihan lengkap dengan penggunaan teknologi moden,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang memperkenankan lawatan beliau ke stadium tersebut.
-RI





