Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

MBIP Peruntuk Lebih RM205 Juta Laksana Projek Berimpak Tinggi 2026

By 14 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Mohd Jafni Md Shukor (Johor)

ISKANDAR PUTERI, 14 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor melalui Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) memperuntukkan lebih RM205 juta bagi pelaksanaan pelbagai Projek Berimpak Tinggi 2026 yang dirangka khusus untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan pentadbiran tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata peruntukan pembangunan yang signifikan itu memfokuskan kepada sembilan elemen utama termasuk pengurusan banjir, infrastruktur pintar, keselamatan bandar serta kelestarian alam sekitar.

Mohd Jafni menegaskan perancangan ini merupakan usaha komprehensif bagi membina bandar yang lebih selamat, hijau dan berdaya huni demi kesejahteraan generasi masa kini serta masa hadapan.

“Sebanyak sembilan hotspot banjir utama telah dikenal pasti di bawah seliaan MBIP dan daripada jumlah tersebut, dua lokasi hotspot telah berjaya diselesaikan sepenuhnya menerusi pelbagai inisiatif teknikal.

“Manakala, lima lagi projek tebatan banjir dijadualkan siap dalam tahun 2026 yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan, pembinaan kolam takungan, saliran baharu serta penambahbaikan struktur sedia ada demi keselamatan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, semalam.

Beliau juga menjelaskan pelbagai projek kemudahan asas sedang dan akan dilaksanakan termasuk pembinaan dewan raya, hab komuniti, jambatan, jejantas, jalan raya baharu serta tempat letak kereta bertingkat bagi memenuhi keperluan penduduk bandar yang semakin berkembang pesat.

“Bagi menyokong visi Smart City atau Bandar Pintar, inisiatif tersebut turut merangkumi penyediaan kuarters kakitangan dan hentian bas pintar yang berupaya memberikan keselesaan serta aksesibiliti yang lebih baik kepada komuniti setempat,” katanya.

Mohd Jafni menegaskan bahawa keseluruhan perancangan ini bukan sekadar projek pembangunan fizikal, sebaliknya merupakan satu usaha komprehensif dalam membina bandar yang lebih selamat, bersih, hijau dan berdaya huni untuk manfaat generasi masa kini serta masa hadapan.

-RI

Tinggalkan komen anda