Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Transformasi Stall Afiq Pisang Goreng Tarik Pelanggan dengan Menu Inovatif

By 22 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Lyana Athirah Mohd Saad (Kedah)

ALOR SETAR, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Seorang usahawan muda, Muhamad Afiq Anuar berjaya mentransformasikan perniagaan Stall Afiq Pisang Goreng daripada gerai khemah kepada gerai kabin yang lebih selesa sejak lima tahun lalu, sekali gus menjadikan premis itu tumpuan penduduk sekitar Teluk Jamat, di sini melalui penawaran pelbagai menu inovatif dan berkualiti.

Muhamad Taufiq, 34, berkata perubahan konsep gerai dilakukan bagi memberi keselesaan kepada pelanggan selain meningkatkan imej perniagaan yang diusahakannya sejak beberapa tahun lalu.

Suasana luaran gerai kabin Stall Afiq Pisang Goreng yang terletak bersebelahan Restoran Lok Pitok, Teluk Jamat yang memulakan operasi sejak lima tahun lalu kini menjadi tumpuan pelanggan dengan menawarkan pelbagai menu pilihan dan kemudahan pesanan dalam talian.

Menurutnya, gerai yang terletak bersebelahan Restoran Lok Pitok itu kini menawarkan pelbagai menu termasuk pisang goreng pelbagai salutan coklat dan keju, tauhu crispy, lasagna, cendawan enoki crispy, sengkuang calit serta pilihan minuman kopi.

“Kami amat mementingkan kualiti dengan memastikan penggunaan minyak masak sentiasa bersih dan tidak dibiarkan hitam, selain teknik potongan pisang yang tidak terlalu nipis bagi mengekalkan rasa asli buah tersebut,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif di gerainya, di sini semalam.

Beliau berkata Stall Afiq Pisang Goreng beroperasi setiap Ahad hingga Khamis dari jam 10.30 pagi hingga 3.30 petang dan turut menyediakan perkhidmatan tempahan menerusi aplikasi Grab serta Misi bagi memudahkan pelanggan.

Dalam usaha mengembangkan perniagaan, beliau bercadang memohon bantuan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mendapatkan mesin wafel, aiskrim serta peralatan menggoreng ayam pada masa akan datang.

Sementara itu, pelanggan, Noor Syuhada Mohd Yasin, 44, berkata keunikan menu yang ditawarkan serta jaminan kebersihan makanan menjadikan gerai tersebut berbeza daripada gerai pisang goreng biasa.

“Kualiti makanan yang dijamin bersih dan pilihan menu yang banyak menyebabkan saya akan datang ke sini bersama keluarga,” katanya.

Transformasi gerai ini bukan sahaja membuktikan keupayaan usahawan muda menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran, malah menjadi contoh bagaimana inovasi dan penekanan terhadap kualiti mampu meningkatkan daya saing perniagaan kecil serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.

-RI

Tinggalkan komen anda