
Laporan/foto: Sarah Saad (Perak)/KKTPG
TAIPING, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Pameran Taiping Bandar Warisan yang berkonsepkan Muzium Datang Kepada Anda dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan menghargai sejarah tempatan.

Aktiviti permainan tradisional turut diadakan bagi memeriahkan pameran
Program anjuran Unit Perpustakaan dan Unit Pengajian Am Kolej Komuniti Taiping (KKTPG) dengan kerjasama Muzium Perak itu memberi peluang kepada warga kolej mendekati sejarah dengan cara lebih santai dan interaktif.
Pegawai Perhubungan Awam KKTPG Fathilah Begum Mohamed Maidin berkata pengisian program tersebut merangkumi pameran panel sejarah dan kuiz interaktif bagi menggalakkan penglibatan aktif pelajar.
“Pengunjung turut berpeluang mencuba permainan tradisional seperti capteh, tuju tin dan batu seremban yang diperkenalkan semula sebagai warisan budaya.
“Aktiviti sebegini bukan sahaja menceriakan suasana, malah menyemai nilai kebersamaan dan keterangkuman dalam kalangan pelajar sejajar dengan semangat Malaysia MADANI,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di KKTPG, di sini hari ini.

Antara yang hadir bagi mendekati sejarah Taiping
Sementara itu, Pengarah KKTPG Aznur Anuar Ab Azid menzahirkan penghargaan atas kerjasama strategik bersama pihak Muzium Perak dalam menjayakan pameran tersebut.
“Program ini memberi nilai tambah kepada pembelajaran pelajar dengan menggabungkan ilmu sejarah dan kesedaran sosial.
“Ia selari dengan peranan kolej untuk melahirkan graduan berkemahiran yang mempunyai jati diri dan berbudaya,” katanya.
Pameran tersebut turut mempamerkan koleksi artifak bersejarah mengenai perkembangan awal bandar Taiping sebagai pengisian utama kepada pengunjung.
-AA-






