Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Warga Asing Didenda, Perintah Khidmat Masyarakat Kerana Buang Puntung Rokok

By 29 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Seorang lelaki warga Bangladesh didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini semalam selepas mengaku bersalah membuang puntung rokok di kawasan awam.

Tertuduh yang berusia 28 tahun itu turut diperintahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama enam jam bagi kesalahan tersebut.

Hukuman ini merupakan pendakwaan kedua di Johor yang melibatkan pelaksanaan PKM bagi kesalahan membuang sampah kecil di bawah Seksyen 77A(1) dan 77B(1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Zainal Fitri, berkata keputusan mahkamah itu memberi isyarat jelas tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku pencemaran sisa pepejal.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor Zainal Fitri Ahmad berkata keputusan mahkamah tersebut memberi isyarat jelas kepada masyarakat bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku pencemaran sisa pepejal, tanpa mengira saiz sampah yang dibuang.

“Kebersihan adalah cerminan tamadun. Kita bukan sekadar membersihkan bandar, tetapi kita sedang membina budaya manusia yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menegaskan bahawa SWCorp Johor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang kebersihan awam dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan di seluruh negeri.

Mengikut fakta kes, Orang Kena Saman (OKS) tersebut dikesan membuang puntung rokok di perhentian bas Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut, pada 1 Jan lalu menerusi operasi penguatkuasaan oleh anggota SWCorp.

Terdahulu, pada 23 Jan lepas, seorang wanita warga Indonesia menjadi individu pertama di negeri ini yang dikenakan hukuman serupa atas kesalahan sisa pepejal.

-RI

Tinggalkan komen anda