Skip to main content
Rencana & Pendapat

Cikgu Dhiya Safina Pemangkin Pendidikan Pemulihan Khas

By 27 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini/Anuar Che Amat

KANGAR, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Percaya sekiranya setiap murid mempunyai potensi untuk berjaya menjadi asas usaha Cikgu Dhiya membangunkan modul literasi, bahan bacaan, bahan intervensi dan bahan bantu belajar yang membantu murid menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira).

“Pendekatan yang fleksibel dan berfokus kepada keperluan murid amat penting dalam pendidikan pemulihan khas. Setiap murid mempunyai potensi untuk berjaya sekiranya diberikan kaedah dan sokongan yang sesuai,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Buku yang menjadi modul dan diinovasi kan oleh Cikgu Dhiya sendiri.

Cikgu Dhiya atau nama sebenarnya Dhiya Safina Mohd Bazir, 42, merupakan Cikgu Cemerlang Pemulihan Khas di Sekolah Kebangsaan Oran, di sini yang telah lebih 15 tahun berkhidmat dalam Pendidikan Pemulihan Khas.

Beliau dikenali sebagai guru komited dan inovatif yang memastikan setiap murid berkeperluan pemulihan mendapat peluang pendidikan yang adil dan berkualiti.

Antara inovasi beliau termasuk Monopoli Roda Suku Kata, modul bacaan berperingkat, modul literasi, bahan intervensi pemulihan, bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berasaskan permainan dan modul digital interaktif.

Beliau turut menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan serta aktif dalam pertandingan inovasi pendidikan, digital dan gamifikasi.

Beliau terlibat dalam program pensijilan profesional seperti Apple Teacher, Google Certified Educator dan Edufluencer, selain pernah meraih kedudukan dalam pertandingan inovasi dan pitching PdP.

“Inovasi dalam pengajaran bukan sekadar untuk menarik minat murid, tetapi untuk memastikan mereka memahami asas 3M dengan cara yang menyeronokkan dan berperingkat.

“Sokongan ibu bapa melalui pemantauan, komunikasi dan dorongan emosi memainkan peranan penting dalam memastikan pembelajaran murid berterusan di rumah,” katanya.

Selain mengajar, beliau aktif menyumbang kepada pembangunan profesional guru melalui pembentangan inovasi, bengkel, penulisan modul dan perkongsian digital di YouTube serta media sosial pendidikan.

Ternyata beliau bukan sahaja pendidik, malah agen perubahan yang memperkasa pendidikan pemulihan khas melalui inovasi, perkongsian ilmu dan penggunaan teknologi.

Sumbangannya mencerminkan komitmen tinggi terhadap kualiti pendidikan dan aspirasi memastikan setiap murid berpeluang mencapai potensi diri.

-RI

Tinggalkan komen anda