
Laporan/foto: Azrul Azham (Jerantut)
JERANTUT, 23 Feb (MalaysiaAktif) – 300 peserta menyertai Jerantut Night Run sempena bulan Ramadan yang berlangsung, di sini kelmarin.
Pengerusi Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) Jerantut, Razaira Rasid berkata sambutan yang diterima amat memberangsangkan walaupun program diadakan pada tengah malam.

Razaira bergambar dengan sebahagian peserta.
Menurutnya, program sejauh lima kilometer itu bermula pada 12.30 tengah malam dan berakhir sekitar jam 3 pagi dalam suasana penuh semangat dan harmoni.
“Walaupun diadakan pada tengah malam dalam bulan Ramadan, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat mengambil bahagian sama ada dalam kategori fun run mahupun fun walk,” katanya.
Tambahnya, program berkenaan turut diserikan dengan acara selingan cabutan bertuah sebagai penghargaan kepada para peserta yang hadir memeriahkan program.

Pengerusi MTSP menyampaikan hadiah cabutan bertuah.
“MTSP Jerantut berhasrat untuk meneruskan penganjuran fun run (larian ria) dan brisk walk (berjalan laju) ini secara berkala bukan sahaja berfokus di bandar Jerantut sahaja malah di kampung-kampung atau FELDA, dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti.
“Diharapkan penyertaan akan terus meningkat dan program ini menjadi salah satu acara komuniti yang dinanti-nantikan warga Jerantut,” jelasnya.
-RI





